AID CONFERENCE

  • HOME
    • PREVIOUS CONFERENCES >
      • NACOSS VI
      • ICCOMAH II
      • ICOSAH V
    • PREVIOUS INNOVATION COMPETITION >
      • IMUS 2021
      • INNOCOM II
      • ISIC III
  • ABOUT
  • COMMITTEE
    • LOCAL HOST
    • INTERNATIONAL LIAISON
    • ACADEMIC COMMITTEE
    • AID CREATIVE WRITING INTERNATIONAL COMMITTEE
    • JOIN US !!
  • CONTACT
  • AWARDS
  • GALLERY
  • HOME
    • PREVIOUS CONFERENCES >
      • NACOSS VI
      • ICCOMAH II
      • ICOSAH V
    • PREVIOUS INNOVATION COMPETITION >
      • IMUS 2021
      • INNOCOM II
      • ISIC III
  • ABOUT
  • COMMITTEE
    • LOCAL HOST
    • INTERNATIONAL LIAISON
    • ACADEMIC COMMITTEE
    • AID CREATIVE WRITING INTERNATIONAL COMMITTEE
    • JOIN US !!
  • CONTACT
  • AWARDS
  • GALLERY
BERHENTILAH MEROKOK, KESANNYA AMAT BURUK
Oleh: Nurnabilah binti Murad, 1171087
Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Disiarkan pada 7 April 2020
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih tujuh juta orang meninggal dunia setiap tahun kerana merokok atau menghidu asap rokok. Statistik itu membuktikan rokok mempunyai kesan buruk terhadap manusia.

Sekitar 1920-an, seorang saintis Jerman, Richard Doll telah menemui kaitan antara tabiat merokok dan kanser paru-paru. Penemuan itu sekali gus menafikan mitos kononnya rokok boleh digunakan sebagai penahan sakit.

Perbuatan merokok jelas memberi kesan yang buruk terhadap masyarakat terutamanya dari segi kesihatan. Sistem pernafasan terjejas apabila paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik akibat saluran udara yang bengkak, sempit dan berlendir.

Keadaan ini menyebabkan paru-paru rosak kerana bahan kimia yang terkumpul tidak boleh dikeluarkan dari badan dan akhirnya menyebabkan perokok mengalami kesukaran bernafas.

Merokok juga boleh memberikan impak kepada sistem imun badan sehingga menyebabkan  perokok mudah dijangkiti penyakit seperti pneumonia atau influenza.

Proses penghasilan rokok turut mencemarkan alam sekitar, bermula dari tembakau ditanam sehingga rokok dihasilkan. Penanaman tembakau yang tidak terkawal boleh menyebabkan nutrien dalam tanah semakin merosot dan menjadikan tanah kering dan rosak.

Selain itu, asap rokok menghasilkan dua bahan kimia yang mencemarkan alam sekitar iaitu karbon dioksida dan metana. Semakin tinggi kandungan karbon dioksida dalam persekitaran, suhu bumi semakin meningkat manakala tahap oksigen semakin berkurangan. Metana pula merupakan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.

Kedudukan ekonomi negara juga boleh terjejas jika semakin ramai rakyat yang menghadapi masalah kesihatan akibat merokok. Setiap tahun, kerajaan membelanjakan sebanyak RM3.8 bilion untuk merawat pesakit jantung dan barah paru-paru yang sebahagiannya berpunca daripada tabiat merokok.

Berikutan penularan pandemik COVID-19, kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak dana untuk penjagaan kesihatan. Sekiranya tabiat merokok yang tidak bermanfaat itu dihentikan sepenuhnya, sebahagian besar dana sedia ada boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Walaupun ramai yang menyedari kesan buruk akibat merokok terhadap kesihatan manusia, alam sekitar dan ekonomi negara, perokok-perokok tegar masih sukar menghentikan tabiat ini sepenuhnya.

Malah, peraturan larangan merokok di premis makanan di seluruh negara yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019 tidak menerima sambutan yang baik daripada para perokok.

Masih kedengaran suara pihak tertentu meminta kerajaan memansuhkan peraturan yang kononnya mengekang kebebasan mereka untuk merokok di mana sahaja yang mereka suka. Tidakkah mereka sedar bahawa orang lain yang tidak merokok lebih berhak menikmati udara yang tidak dicemari bau dan asap rokok?

Sehubungan itu, adalah wajar bagi kerajaan untuk bertegas dalam usaha menangani tabiat merokok dalam kalangan rakyat. Orang ramai juga seharusnya memberi kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka melihat mana-mana individu yang melanggar peraturan larangan merokok di tempat-tempat awam.
Picture
Picture
Picture
We Would Love to Hear from You!

Email :
myaidconference@gmail.com

Picture

Visitor