AID CONFERENCE

  • HOME
    • PREVIOUS CONFERENCES >
      • NACOSS VI
      • ICCOMAH II
      • ICOSAH V
    • PREVIOUS INNOVATION COMPETITION >
      • IMUS 2021
      • INNOCOM II
      • ISIC III
  • ABOUT
  • COMMITTEE
    • LOCAL HOST
    • INTERNATIONAL LIAISON
    • ACADEMIC COMMITTEE
    • AID CREATIVE WRITING INTERNATIONAL COMMITTEE
    • JOIN US !!
  • CONTACT
  • AWARDS
  • GALLERY
  • HOME
    • PREVIOUS CONFERENCES >
      • NACOSS VI
      • ICCOMAH II
      • ICOSAH V
    • PREVIOUS INNOVATION COMPETITION >
      • IMUS 2021
      • INNOCOM II
      • ISIC III
  • ABOUT
  • COMMITTEE
    • LOCAL HOST
    • INTERNATIONAL LIAISON
    • ACADEMIC COMMITTEE
    • AID CREATIVE WRITING INTERNATIONAL COMMITTEE
    • JOIN US !!
  • CONTACT
  • AWARDS
  • GALLERY
Picture
Oleh: Profesor Madya Dr. Nursilah Ahmad
Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia
Disiarkan pada 17 September 2020
EKONOMI GIG SUMBER PERTUMBUHAN EKONOMI BAHARU
Ekonomi gig merujuk kepada pekerja kontrak atau pekerja separuh masa. Kini ia menjadi tren di seluruh dunia, terutama dalam kalangan generasi muda dan graduan yang baharu tamat pengajian. Dijangkakan corak pekerjaan sepenuh masa (tradisional atau konvensional) tidak lagi menjadi pilihan anak-anak muda dewasa ini. Mereka lebih gemar bekerja secara separuh masa yang bersifat anjal, bebas dan berdasarkan permintaan pasaran. Uber, FoodPanda, Grab Food, Bungkusit dan Fiverr ialah contoh pekerjaan ekonomi gig. Akhbar tempatan ada melaporkan terdapat 13,000 penghantar FoodPanda dan 10,000 penghantar GrabFoob di sekitar Lembah Klang sahaja.
 
       Ekonomi Gig adalah satu tren sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja untuk mengadakan kontrak kerja suka sama suka tanpa perlu mengupah pekerja sepenuh masa.
 
       Dr. Frank Peter, seorang jurulatih antarabangsa, berpendapat bekerja separuh masa bukanlah satu konsep baharu, tetapi istilah Gig ekonomi itu sendiri yang baru dipopularkan. Beliau memberikan contoh mudah bagaimana untuk memahami Gig ekonomi. Katakan kita kurang minat memasak, justeru kita ada dua pilihan. Pertama, mengupah seorang chef persendirian. Kedua, pergi ke restoran untuk menikmati makanan yang digemari.
 
       Mengupah seorang tukang masak atau chef persendirian mungkin memerlukan kos yang tinggi, jadi ia bukan pilihan bijak. Tetapi mengupah seorang chef untuk penyediaan makan malam sahaja mungkin lebih jimat. Katakan chef tersebut mahir menyediakan masakan Kelantan. Sekiranya anda ingin makan piza, chef anda mungkin tidak dapat menyediakan piza tersebut sebagaimana chef yang pakar dalam masakan Barat. Oleh itu, mengupah seorang pekerja berdasarkan kemahiran yang diperlukan akan memberikan pulangan optimal.
 
       Istilah ekonomi gig dipopularkan oleh Tina Brown, seorang wartawan Amerika Syarikat, selepas krisis kewangan global 2008 melanda dunia. Krisis kewangan tersebut mencetuskan permintaan terhadap pendigitalan kerja dan ekonomi digital. Bekerja secara jarak jauh dalam talian dan kontrak jangka pendek mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
 
       Pekerja ekonomi gig, atau giggers, melibatkan tugasan berteraskan kemahiran berasaskan aplikasi teknologi. Ia dipacu oleh revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).  Dr. Sawal Hamid Md Ali mendefinasikan IR 4.0 sebagai sistem dan sistem siber-fizikal yang boleh menghubungkan dunia digital dengan sistem biologi seperti manusia melalui Internet. Internet dan cloud-computing merancakkan lagi perubahan struktur pasaran buruh dari pekerjaan tradisional kepada pekerjaan separuh masa atau prekariat (independent contractor).
 
       Gig ekonomi menjadi penanda aras kepada perubahan struktur pasaran buruh. Proses perubahan struktur pasaran buruh ini dipercepatkan oleh pandemik COVID-19. Terdahulu, pekerjaan tradisional mementingkan kestabilan kerjaya untuk kelangsungan hidup. Generasi kini mengutamakan fleksibiliti dan kebebasan dalam kerjaya. Menurut Azmir Shah, pekerja gig dianggap sebagai digital nomad. Digital nomad adalah mereka yang biasanya bekerja dari platform internet dan menetapkan jenis pekerjaan, masa dan organisasi yang mereka ingin bekerjasama secara kontrak atau separuh masa.
 
       Organisasi multinasional mendapat banyak faedah dari sistem ekonomi Gig ini. Antaranya termasuklah tidak perlu menyediakan kemudahan kesihatan, insuran dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja, tidak perlu menyediakan ruang pejabat secara fizikal, mengurangkan pengurusan aspek sumber manusia dan hanya mengeluarkan kos yang perlu untuk pekerjaan tersebut sahaja. Ini adalah model perniagaan yang lebih efisyen dan organisasi dapat menjimatkan kos perniagaan. Organisasi juga dapat memilih pekerja yang mempunyai skil yang diperlukan yang bersesuaian tahap pekerjaan.
 
       Pekerja gig sering dikaitkan dengan pekerjaan berkemahiran rendah. Walaubagaimana, terdapat juga pekerjaan gig yang memerlukan kemahiran tinggi. Contohnya seperti pereka grafik, pembangun perisian komputer, pengaturcara, penganalisis data dan pakar perunding atau konsultan. Khazanah Research Institute melaporkan pada 2016, terdapat sejumlah 1.7 juta orang yang bekerja sendiri di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan tren ini terus meningkat saban tahun. Laporan daripada KWSP pula menyatakan ekonomi Gig telah berkembang di Malaysia pada kadar 31 peratus berbanding pekerjaan tradisional yang tumbuh lebih perlahan pada 2017.
 
       Banyak negara di dunia telah mula menggubal undang-undang perlindungan kepada pekerja ekonomi gig. Parlimen Eropah, sebagai contoh, memberikan had minimum kepada pekerja gig, termasuk zero hour. Amerika Syarikat memperkenalkan California Assembly Bill 5 (AB5) yang mengklasifikasikan status pekerja bebas yang turut sama menikmati layanan faedah sebagai pekerja syarikat bermula Januari 2020.
 
       Di India, Draft Code on Social Security 2019 diperkenalkan iaitu pekerja gig akan diberikan hak jika berlaku kematian dan kecacatan, kemudahan kesihatan, faedah bersalin dan lain-lain. Di China, laporan dari Ali Research Institute menjangka 400 juta penduduk China akan menjadi pekerja ekonomi gig menjelang 2036. China, negara ekonomi kedua terbesar dunia, telah merangka platform gig dalam rancangan pembangunan ekonomi lima tahun seawal 2001 lagi. Malangnya, struktur pasaran, aplikasi teknologi dan peraturan berkaitan perlindungan kepada pekerja ekonomi gig masih belum lengkap. Krisis COVID-19 sebenarnya menjadi pencetus dan penggerak utama dalam mempercepatkan proses penyediaan infrastruktur dan teknologi yang diperlukan untuk ekonomi Gig.
                                                            
       Kerajaan telah merancang untuk memberi tumpuan khas kepada pekerja gig dalam Rancangan Malaysia ke-12, 2021-2025. Semasa pengumuman bantuan pelan jana semula ekonomi negara (PENJANA) pada 5 Jun yang lalu, kerajaan juga telah memperuntukkan dana sejumlah RM50 juta bagi tujuan peruntukan Perlindungan Sosial dan Latihan kepada 30,000 pekerja ekonomi gig.
 
       Satu kajian di Amerika Syarikat melaporkan pekerja bebas menyumbang AS$1.28 trilion untuk ekonomi pada 2018. Lebih satu pertiga atau lebih kurang 57 juta tenaga buruh di negara tersebut adalah pekerja ekonomi Gig. Adalah dijangkakan menjelang 2027, 60 peratus dari generasi milenial akan bekerja dalam sektor ekonomi Gig. Sumber yang lain pula menyatakan hampir 92 peratus dari mereka memilih untuk bekerja secara separuh masa. Senario ini memerlukan perancangan rapi agar perubahan ini membawa kesan yang positif, mapan dan memberi manafaat kepada pekerja, majikan dan masyarakat.
 
       Kelebihan pekerja ekonomi gig ialah fleksibiliti, kebebasan memilih pekerjaan dan dapat membuat pilihan pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap kemahiran. Manakala kelemahan sistem ekonomi gig adalah pendapatan yang rendah, tiada faedah sampingan dan perlindungan sosial, perlu membayar cukai pendapatan dan perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyempurnakan tugasan yang diberi dan peningkatan tekanan kerja. Ada yang berpendapat pekerjaan dalam ekonomi gig dan usahawan digital kurang stabil dari segi jaminan upah dan terdapat perangkap kerjaya kerana mereka tidak banyak peluang meningkatkan kemahiran dan akan terus berada dalam lingkaran pendapatan rendah dan sederhana.
 
       Justeru, untuk mengharungi cabaran krisis korona virus dan mencari sumber baharu  pertumbuhan ekonomi, ekonomi Gig mungkin salah satu jalan penyelesaian.  Krisis korona virus ini mengubah struktur pasaran buruh dan mencetuskan budaya kerja norma baharu kepada generasi muda. Untuk menjadi pekerja ekonomi gig yang mempunyai nilai tambah, kemahiran baharu berasaskan teknologi sangat diperlukan.
We Would Love to Hear from You!

Email :
myaidconference@gmail.com

Picture

Visitor